Soseh-soseh : Jeremy doakan jodoh Siti berkekalan
BARU-BARU ini sewaktu rakan SS membuat liputan ke lokasi penggambaran filem Diva, rakan SS bertemu pelakon Indonesia, Jeremy Thomas.
SS terus teringat lima tahun lalu penyanyi Siti Nurhaliza pernah dipertemukan dengan pelakon pujaannya itu oleh stesen televisyen Indonesia, Indo Siar.
Pelakon kacak berwajah ala jejaka Mexico itu banyak membintangi sinetron (drama). Antara yang digemari Siti adalah Isteri Pilihan yang pernah disiarkan menerusi siaran Prima Astro, bergandingan dengan Ayu Azahari.
Rakan SS sempat bertanya mengenai jodoh pilihan Siti, Datuk Khalid Mohammad Jiwa atau Datuk K.
Kata Jeremy, sebaik saja penyanyi yang cukup popular di negaranya itu mengumumkan siapakah bakal suaminya, ramai wartawan di Indonesia datang kepadanya dan bertanya perkara sama.
Bagaimanapun jelas Jeremy, 36, soal jodoh pertemuan, ajal maut Tuhan yang tentukan. Sebagai orang luar terutama peminat, seharusnya mendoakan yang baik-baik buat Siti.
Dalam pada itu, dia tidak menafikan pelbagai komen turut didengarnya mengenai perbezaan usia antara Siti dan Datuk K.
Katanya, dia tidak mahu memandang jauh sebaliknya hanya melihat pada dirinya dan bagaimana dia dan isterinya, Ina Thomas berhadapan perkara sama.
SS sendiri mendoakan kebahagiaan Siti bersama lelaki pilihannya.